KUCHING 10 Feb. - Tanda tanya siapakah yang bakal
dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu masih belum berakhir
apabila Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak membuat sebarang pengumuman
walaupun beliau dikatakan akan berbuat demikian hari ini.
Sebaliknya, Abdul Taib memberikan 'petunjuk' baharu iaitu nama
penggantinya akan diumumkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan
Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada
Sabtu ini.
Beliau memberikan alasan perlu mematuhi protokol dengan memohon perkenan nama calon pilihan terlebih dahulu.
Sambil memberi bayangan bahawa beliau sendiri sebenarnya sudah tidak
sabar untuk menyumbang kepada negara secara lebih santai, Ketua Menteri
selama 33 tahun itu menegaskan pengumuman nama pengganti tidak perlu
dibuat secara tergesa-gesa.
"Tidak..tidak (tiada pengumuman calon), saya perlu masa dan mematuhi
protokol. Saya akan jumpa TYT (Yang Dipertua Negeri Sarawak) pada 15
Februari ini.
"Pada masa sama, saya juga tidak sabar untuk melakukan perkara
bermanfaat kepada negara dalam keadaan lebih santai pada masa hadapan.
Tidak perlu tergesa-gesa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan
Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Ke-42 Peringkat
Negeri Sarawak di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi; Menteri Pembangunan Industri negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali
Hassan; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku
Jaafar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Dalam majlis itu, Ahmad Zahid menganugerahkan pingat Timbalan Ketua Kehormat Rela kepada Abdul Taib.
Sementara itu, petugas media mula berkampung di Wisma Bapa Malaysia
yang menempatkan pejabat Ketua Menteri sejak pukul 9.30 pagi selepas
menerima maklumat Abdul Taib mengadakan pertemuan bersama Ahmad Zahid
dan Khalid bagi membincangkan soal pilihan raya negeri.
Namun, Ahmad Zahid dalam sidang akhbar selepas itu menafikan
pertemuan dengan Abdul Taib membincangkan soal pilihan raya sebaliknya
berkisar kepada isu keselamatan di negeri ini.
Kenyataan itu disokong oleh Awang Tengah yang menjelaskan, pertemuan
antara kerajaan negeri dan Ahmad Zahid adalah pertemuan yang biasa
diadakan dari semasa ke semasa bagi membincangkan isu keselamatan.
Terdahulu, Ahmad Zahid menganugerahkan pingat Timbalan Ketua Kehormat Rela kepada Abdul Taib.
Abdul Taib dalam ucapan pula memberitahu, kerajaan negeri bersetuju
meluluskan tapak yang sesuai untuk membina Ibu Pejabat Rela di negeri
ini.
Beliau juga bersetuju memberi peruntukan berjumlah RM250,000 kepada
Rela untuk membeli uniform digital bagi 90 peratus daripada 290,000
anggota Rela yang belum menerimanya di negeri ini.
No comments :
Post a Comment