PUTRAJAYA 10 Feb. - Orang yang tidak menghormati
undang-undang tidak layak menjadi pemimpin kerana mereka dikhuatiri
membawa kerosakan kepada negara, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad.
Oleh itu beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menawarkan
diri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kajang merupakan individu yang tidak menghormati
undang-undang apabila mengadakan kempen awal.
Dr. Mahathir berkata, sikap Anwar yang tidak menghormati
undang-undang juga ditonjolkan apabila pemimpin pembangkang itu pernah
memakinya berhubung satu kes saman fitnah walaupun kes tersebut telah
dibawa ke mahkamah.
"Dia tidak pernah menghormati undang-undang. Dia pernah saman saya
RM100 juta tetapi pada masa sama pergi sana dan sini untuk memaki saya.
"Sepatutnya kalau ada kes di mahkamah, dia tidak boleh cakap mengenai
kes tersebut," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan
hormat pengayuh basikal solo, Wan Hashim Wan Mahmood, 68, di Yayasan
Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan mengadakan kempen awal sempena PRK DUN Kajang walaupun penamaan calon belum dijalankan.
Wakil penduduk dari lima taman perumahan di Kajang telah membuat
laporan polis terhadap Anwar Ibrahim kerana bertindak berkempen awal.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, pengundi di Kajang sudah bosan
dengan sandiwara Anwar yang berkali-kali mewujudkan masalah apabila
terdapat kes perbicaraan melibatkannya.
"Pilihan raya kecil ini sepatutnya tidak berlaku, tetapi ia
disengajakan. Walaupun disengajakan, tidak terdapat larangan dari segi
undang-undang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir membidas Ahli Parlimen Seputeh,
Teresa Kok yang sengaja mengeluarkan klip video kontroversi walaupun
tindakan itu tidak menyumbang kepada keharmonian kaum dan keamanan
negara.
Ditanya mengenai tindakan yang harus diambil ke atas Teresa, beliau
berkata, tiada tindakan boleh diambil ke atas Ahli Parlimen dari DAP itu
selagi klip video tersebut tidak bercanggah dengan undang-undang.
"Kalau tindakannya tidak bercanggah dengan undang-undang, maka kita
tidak boleh bawa (Teresa) ke mahkamah kerana mahkamah akan menolak kes
ini," katanya.
Sementara itu, Wan Hashim melahirkan rasa terharu apabila hasratnya untuk bertemu dengan Dr. Mahathir tercapai.
Katanya, Dr. Mahathir telah memberi kata-kata semangat, selain berkongsi pandangan tentang isu tertentu.
"Beliau memberitahu bahawa orang-orang muda di Malaysia harus terlibat dalam aktiviti yang menyihatkan seperti bersukan.
"Dr. Mahathir berharap penglibatan saya dalam aktiviti berbasikal
dapat diteladani oleh pemuda yang lain," katanya kepada pemberita
selepas menemui Dr. Mahathir.
No comments :
Post a Comment