Showing posts with label kematian karpal singh. Show all posts
Showing posts with label kematian karpal singh. Show all posts

Tuesday, 22 April 2014

PRK Bukit Gelugor: DAP Pulau Pinang Bermesyuarat Khamis Ini


GEORGE TOWN, 22 April (Bernama) -- Jawatankuasa Kerja Pusat DAP Pulau Pinang akan bermesyuarat Khamis ini untuk membincangkan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh, 74, dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan MPV yang dinaikinya dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak pada 17 April.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mesyuarat itu akan turut membincangkan calon dan strategi pilihan raya kecil berkenaan selain aspek logistik serta statistik.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini yang diadakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo untuk mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang keluar beramai-ramai menghadiri perarakan membawa mayat bapanya untuk disemadikan pada Ahad lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan tentang kekosongan kerusi berkenaan oleh Dewan Rakyat dan SPR akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu.

Chow berkata DAP belum menyenarai pendek calon untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dan enggan mengulas sama ada Ramkarpal Singh Deo, anak lelaki mendiang Karpal Singh, akan mewakili parti dalam pilihan raya kecil itu.

Sebelum ini, Tim Donoghue, penulis biografi Karpal Singh, memberitahu sebuah portal berita bahawa Karpal Singh telah memilih sendiri anak lelakinya, Ramkarpal, untuk bertanding jika beliau terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen itu berikutan sabitan ke atasnya dalam kes hasutan.

-- BERNAMA

Friday, 18 April 2014

Ahmad Shabery Gesa Pengguna Media Sosial Henti Sebar, Kongsi Gambar Ngeri



IPOH, 18 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa pengguna media sosial menghentikan perbuatan menyebar dan berkongsi gambar ngeri yang dianggapnya sebagai sikap tidak bertamadun.


Sambil melahirkan rasa kesal dan sedih dengan perkembangan budaya itu, Ahmad Shabery berkata perbuatan tersebut tidak mencerminkan keperibadian yang tinggi selain tidak beretika.

"Kita seolah-olah dikatakan terlalu lapar kepada kebebasan tetapi tidak tahu menilai dan menyalahgunakan kebebasan yang ada untuk menunjuk sikap kurang bertamadun, ini tidak ada dalam ajaran agama Islam serta agama lain," katanya.

Dalam nahas 1.10 pagi di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan itu, Karpal Singh yang juga bekas Pengerusi DAP Kebangsaan dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor maut di tempat kejadian. Turut terbunuh pembantu peribadinya Michael Cornelius, 39.

Ahmad Shabery yang ditemui pemberita di sini Jumaat diminta mengulas mengenai penyebaran gambar mendiang Karpal Singh, 74, ketika terbabit dalam nahas jalan raya awal pagi Khamis, menerusi media sosial.

"Saya cukup sedih apabila melihat bagaimana gambar mayat, sesiapa sahaja yang diedar di media sosial dan sebagainya...dijadikan bahan tontonan," katanya yang ditemui selepas menziarahi Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Paloh Datuk Norzula Mat Diah di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Norzula dirawat di High Dependency Unit hospital itu selepas cedera parah dalam kemalangan jalan di Cameron Highlands petang Khamis yang turut meragut nyawa isterinya.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata pengamal media sosial kini semakin melampaui batas sehingga sudah tidak mampu mengambil kira sensitiviti keluarga mangsa.

Katanya orang ramai juga perlu berhenti daripada mengaitkan tragedi dengan politik yang berdasarkan rasa benci dan kemarahan.

"Kita harus menghormati mereka yang telah pergi dan tiada lagi, hormatilah perasaan keluarga dan orang yang mereka sayangi, serta tidak melibatkan perkara begini dengan dalam soal politik dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA