Wednesday, 5 February 2014

Polis Buka Kertas Siasatan Terhadap Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok



KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan terhadap anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok berikutan penerbitan video Tahun Baharu Cina baru-baru ini yang dipercayai melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.


Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata Kok kini disiasat mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina pemimpin negara.



“Kami sedang menjalankan siasatan terhadap perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas seminar pencegahan jenayah Kampus Kor Suksis Universiti Malaya, di sini Selasa.

Kok yang juga naib pengerusi DAP, didakwa terbabit dalam penerbitan klip video bertajuk ‘Onederful Malaysia CNY 2014′ yang tersebar luas melalui laman YouTube sejak Isnin lepas.


Dalam video klip berdurasi hampir 12 minit itu, Kok berlakon sebagai pengacara yang menemu ramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina untuk tahun ini dan tetamu undangan Kok itu mengeluarkan kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antaranya mengenai pemimpin negara, sistem pendidikan dan isu keselamatan di Sabah.

Sementara itu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggelar diri sebagai anggota gabungan NGO pro-Barisan Nasional, memberi tempoh 14 hari kepada anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok, untuk membuktikan lanun benar-benar wujud di Sabah.

Presiden NGO itu, Zulkarnain Mahdar berkata, jika Teresa gagal berbuat demikian dalam tempoh berkenaan, pihaknya sebagai rakyat Sabah akan memfailkan saman malu. ”Memang niat dia untuk memalukan orang Sabah, untuk menjejaskan imej Sabah kepada orang di luar Sabah. Memang jelas dia beritahu di sini (dalam klip video)…anda boleh melancong ke Sabah dan berpeluang melihat lanun dengan pertunjukan bonus penculikan dan babak tembakan,” katanya merujuk kepada klip video ucapan Tahun Baharu Cina Kok yang bersifat sindiran.

Zulkarnain yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Pekerja Anak-Anak Sabah, Selangor berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu berhubung klip video ‘Onederful Malaysia CNY 2014′ Teresa yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini.


sumber - klxpress

#PRKKajang : Sendiwara Khalid – Azmin – Anwar


Setiausaha Agong PKR, Datuk Saifuddin Nasution secara rasmi mengumumkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengarah pilihanraya bagi menghadapi PRK Dun Kajang. 

Manakala Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dilantik sebagai timpalan pengarah pilihanraya dan Borhan Aman Shah, yang merupakan pengarah jawatankuasa pilihan raya Selangor, dilantik sebagai pengarah operasi pilihan raya.


Menjadi tanda tanya apakah motif PKR melantik Khalid sebagai pengarah prk DUN Kajang dan Zuraida sebagai timbalan pengarah. Sedangkan PKR Selangor diketuai oleh Azmin Ali sebagai Pengerusi. Mungkin nak ‘cover line’ sebab yang kuat menentang Khalid selama ini ialah Azmin. 

Jadi untuk mengekalkan pengaruh Azmin, PKR telah melantik Zuraida dari kem Azmin sebagai timbalan pengarah untuk menguruskan PRK Kajang.

Semua ini sebahagian sendiwara sementara yang ditunjukkan oleh PKR sedangkan rakyat tahu masalah dalaman cukup kuat melanda parti itu. Apa lagi sendiwara mereka selepas ini. Kita sama-sama tunggu dan lihat.

Sumber -klxpress

Pemuda Pas tolak Anwar jadi MB Selangor #prkkajang

Suhaizan Kaiat
KUALA LUMPUR 4 Feb. - Meskipun Pemuda Pas bersama pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, namun mereka kekal tidak bersetuju dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, ini kerana polemik Kajang itu tidak perlu mengheret pakatan pembangkang bagi membincangkan perebutan kerusi 'panas' di Selangor.

"Pemuda Pas mendesak agar isu Menteri Besar Selangor yang baharu dihentikan segera kerana rakyat Malaysia sudah muak dengan polemik politik yang tidak berkesudahan," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pemuda Pas 'kurang berpuas hati' dengan tindakan Lee Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengosongkan kerusi DUN Kajang tanpa sebarang alasan.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal terhadap tindakan mengosongkan kerusi DUN Kajang secara tergesa-gesa yang membazir masa dan wang rakyat.

Tambahnya, perkara itu akan mendedahkan pakatan pembangkang kepada risiko kemerosotan daripada sokongan rakyat.

"Kita hormati muafakat antara kami dan memberi hak mengurus DUN kepada parti yang menang dalam pilihan raya lepas.

"Justeru, Pemuda Pas mendesak agar mana-mana komponen pakatan pembangkang tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang," ujarnya.
Dalam pada itu, Suhaizan berkata, Pemuda Pas menggesa pihak yang terlibat dalam PRK kali ini tidak melakukan pembaziran.

"Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Selangor perlu mengelakkan projek-projek 'mi segera' yang akan mengorbankan wang rakyat.

"Rakyat sudah terkesan dengan kenaikan harga barang sekali gus akan menghukum mana-mana pihak yang dilihat membazir," ujarnya.

sumber - utusan online

Nalla tawar diri lawan Anwar #prkkajang

S. NALLAKARUPPAN menawarkan diri sebagai calon untuk menentang bekas rakan karibnya, Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti India Bersatu Malaysia, Segambut, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 4 Feb. - Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan hari ini menawarkan diri bertanding menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Bagi membolehkan kedua-dua belah pihak memberikan tumpuan kepada pertarungan di DUN Kajang, Nallakaruppan menyatakan kesediaannya melepaskan kedudukan sebagai Ahli Dewan Negara manakala Anwar dicabar meletakkan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Kata Nallakaruppan, beliau menawarkan diri kerana tidak mahu penduduk kawasan tersebut tertipu dengan Anwar, selain faktor BN belum mengumumkan calon dan membuat keputusan sama ada ingin bertanding atau sebaliknya.

“Saya adalah calon yang paling sesuai untuk lawan Anwar sebab semua rahsia hitam peribadi dia ada dalam poket saya. Saya ingin berkongsi cerita dengan pengundi Kajang mengenai perihal dan kelakuan sebenar Anwar dalam pilihan raya nanti.

“Justeru, saya merayu kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua parti komponen, beri laluan kepada saya untuk bertanding dengan Anwar secara satu lawan satu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MIUP, Segambut di sini hari ini.

Yang turut hadir beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk pengasas bersama parti itu, Ng Lum Yong dan pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, beliau tidak akan mendedahkan video yang didakwa melibatkan bekas rakan karibnya itu semasa berkempen kerana kes tersebut masih di peringkat mahkamah.

“Kandungan video itu saya tidak boleh dedahkan kepada orang awam. Namun, ada banyak lagi cerita panas mengenai Anwar yang belum saya dedahkan. Saya akan cerita siapa Anwar kepada rakyat Kajang," katanya.

Beliau juga berkeyakinan dapat memberikan cabaran sengit kepada Ketua Pembangkang itu sekiranya diberikan peluang menjadi calon BN.

“Saya buat tawaran ini kerana saya ada peluang lebih baik di DUN Kajang. Siapa Anwar dan siapa Nallakaruppan, kamu boleh lihat itu," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah memaklumkan hasratnya kepada pucuk pimpinan BN, Nallakaruppan berkata, beliau menunggu maklum balas daripada mereka termasuk para pemimpin parti komponen selepas sidang akhbar tersebut.

Menjawab soalan adakah beliau akan meneruskan hasrat untuk bertanding sekiranya tidak terpilih sebagai calon, Nallakaruppan menjelaskan, beliau akan memikirkan perkara tersebut selepas permintaannya itu dijawab oleh pucuk pimpinan BN.

Sementara itu, Lum Yong berkata, beliau bersama 20 orang lagi pengasas bersama PKR akan turun membantu kempen calon BN menentang Anwar di DUN Kajang.

“Selain itu, bekas pemimpin DAP dan Pas dari seluruh negara akan datang ke Kajang bagi membantu siapa sahaja calon BN menentang Anwar," katanya.

sumber - utusan online

PRK Kajang: 11 Mac penamaan calon, 23 Mac mengundi - SPR #prkkajang

PUTRAJAYA 5 Feb. -Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri DUN Kajang pada 11 Mac depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusuf turut mengumunkan 19 Mac sebagai tarikh pengundian awal dan 23 Mac sebagai tarikh pengundian biasa.

Abdul Aziz berkata, Daftar Pemilih Induk 2012 digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama, Kedua dan Ketiga 2013 yang telah dikemas kini sehingga 26 Januari digunakan pada pilihan raya kecil itu nanti.

"Sejumlah 38,297 orang pengundi akan terlibat dalam PRK DUN Kajang yang terdiri dari 38,055 pengundi biasa, 1,197 pengundi awal dan 26 orang pengundi tidak hadir luar negara," kata Abdul Aziz.

Abdul Aziz bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai PRK DUN Kajang di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, Kompleks Sukan MPKJ Bandar Baru Bangi akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Sebanyak 18 pusat pengundian akan dibuka dengan 673 orang petugas pilihan raya dilantik untuk proses pengundian.

Sementara, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hasan Nawawi Abd. Rahman dilantik sebagai Pengurus Pilihan Raya.

Abdul Aziz berkata, PRK DUN Kajang menelan kos RM1.6 juta.

DUN Kajang kosong  berikutan perletakkan jawatan penyandangnya, Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Januari lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disebut akan bertanding mengantikan Chin Cheh bagi kerusi tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU13) lalu, Chin Cheh menewaskan calon BN, Lee Ban Seng dan tiga calon lain dengan majoriti 6,824 undi.-UTUSAN ONLINE