Monday, 17 February 2014

BN dijangka umum keputusan minggu ini

Khairy Jamaluddin menunggang motosikal ketika membuat tinjauan mesra bersama akar umbi di sekitar Kg. Sungai Kantan sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, di Kajang, semalam.
HULU LANGAT 16 Feb. - Barisan Nasional (BN) dijangka membuat pengumuman sama ada akan bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang minggu ini.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, beberapa mesyuarat penting bakal diadakan pada minggu ini dan ketetapan mengenai perkara itu dijangka dibuat dalam tempoh terdekat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, dari segi tempoh masa ia merupakan saat yang sesuai bagi pucuk kepemimpinan BN membuat satu ketetapan untuk memberikan satu kepastian muktamad kepada jentera parti di peringkat akar umbi yang kini berada dalam keadaan tidak menentu.

"Daripada maklum balas yang saya terima daripada UMNO Bahagian Hulu Langat, mereka sudah bersedia menghadapi PRK ini. Mungkin dari segi pengesahan pucuk kepemimpinan BN , saya yakin akan datang dalam masa terdekat dan satu ketetapan akan dibuat pada minggu ini. Insya-Allah.

"Ada beberapa mesyuarat penting akan berlangsung. Saya tidak boleh mendahului Pengerusi BN, tetapi saya rasa ketetapan akan dibuat tidak lama lagi. Ini kerana dari segi peringkat akar umbi mereka perlu tahu apakah keputusan BN sama ada kita akan bertanding atau tidak dan penentuan mengenai soal calon," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra bersama akar umbi parti itu di sekitar peti undi Sungai Kantan termasuk melawat buah 25 buah rumah di Kajang di sini hari ini.

Khairy berkata, jika BN memutuskan untuk bertanding, parti itu akan menampilkan calon terbaik dengan memiliki kriteria boleh menang dan dapat diterima oleh pengundi pelbagai kaum di DUN Kajang.

Mengenai pengumuman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim akan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK itu, beliau berkata, tindakan tersebut menampakkan seolah-olah Zaid cuba mengeksploitasi satu perasaan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat Selangor yang tidak bersetuju dengan usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar.

Katanya, rakyat boleh membuat penilaian mengenai masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menyebabkan berlakunya PRK DUN Kajang ekoran kegagalan Anwar menangani masalah dalaman parti itu di Selangor.

"Rakyat harus meragui 'kehebatan' Anwar yang dikatakan sebagai pemimpin kelas dunia tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah dalam partinya sampai tahap terpaksa membebankan dan mengheret rakyat.

"Apakah jenis pemimpin berkelas dunia kalau seperti itu," ujar beliau.

Khairy bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan Zaid bertanding sebagai calon Bebas tidak mempunyai kaitan dengan BN.

Beliau berkata, jika BN membuat keputusan bertanding di kerusi DUN Kajang, ia adalah atas sebab dan kekuatan sendiri.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jangan provokasi orang Melayu

Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Musa Shekh Fadzir (dua dari kanan) dan Mohd. Zaidi Mohd. Said semasa merasmikan Wisma Transformasi UMNO Bahagian Permatang Pauh di Pulau Pinang, semalam.Turut kelihatan Mohd. Zaidi Mohd. Said dan Musa Sheikh Fadzir.
PERMATANG PAUH 16 Feb. - Toleransi tahap tinggi yang ditunjukkan orang Melayu selama ini tidak harus dibalas dengan perbuatan berbentuk provokasi terhadap agama Islam sehingga boleh mengundang tindak balas ganas.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak akhir-akhir ini pelbagai perbuatan provokasi dicetuskan pihak-pihak tertentu dan akibatnya, wujud golongan ekstrem dalam kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini yang membalas perbuatan tersebut.

"Saya mengambil contoh kejadian gereja di negeri ini yang dibaling bom petrol pada bulan lepas. Sebelum ini tidak ada kejadian sedemikian tetapi apabila ada provokasi termasuk menggantung kain rentang mempunyai kalimah Allah berhampiran beberapa gereja, maka wujudlah tindak balas sedemikian.

"Dalam kes Teresa Kok pula, ramai yang memberi komen mengecam pihak yang memberi tawaran untuk menampar beliau. Jika Teresa tidak mulakan provokasi, tidak akan ada tawaran demikian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Wisma Transformasi UMNO Bahagian Permatang Pauh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengulas tindakan biadab pihak tertentu meletakkan ketulan daging babi di hadapan sebuah masjid di Cherok Tok Kun, di sini pagi ini.

Mengenai sikap toleransi orang Melayu, beliau berkata, perkara berkenaan telah terbukti sejak dahulu lagi apabila keluarga minoriti Cina boleh hidup di perkampungan Melayu tanpa masalah.
 
"Orang Cina boleh hidup aman damai dalam perkampungan Melayu tanpa ada masalah, malah boleh membela anjing. Selama ini kita hidup seperti sebuah keluarga besar kerana sikap toleransi berkenaan tetapi janganlah dibalas dengan tindakan provokasi," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kelantangan Teresa jatuhkan imej DAP

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Kelantangan dan kedegilan Teresa Kok yang sehingga kini masih enggan memohon maaf serta mengaku bersalah atas penerbitan video kontroversi Tahun Baharu Cina baru-baru ini sebenarnya menjatuhkan imej parti DAP.

Presiden Sensible and Ethical Malaysians United Troopers (SEMUT), Datuk Huan Cheng Guan berkata, sikap Teresa tersebut menjelaskan lagi bahawa perjuangan hakiki parti cauvinis Cina itu kini bersifat perkauman dan mempromosikan prasangka terhadap integrasi kaum.

"Teresa merupakan ahli DAP yang sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa dan sokongan rakyat tanpa memikirkan isu sensitiviti antara kaum.

"Hal ini bukan sahaja memalukan anggota DAP lain yang lebih 50 peratusnya adalah orang Cina, malah seluruh masyarakat Tionghua di seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Cheng Guan berkata, kedegilan yang ditunjukkan Teresa itu juga mencerminkan dirinya seorang yang tidak bertamadun.
"Jika dia (Teresa) seorang manusia yang bertamadun, dia tidak akan menghasilkan video tersebut dan sekiranya sudah buat salah, cepat-cepat minta maaf.

"Tunjukkan diri anda sebagai Ahli Parlimen, bukannya pelakon komedi yang terdesak untuk mencari publisiti," ujarnya.

Ahli Parlimen Seputeh itu terus didesak memohon maaf ekoran penerbitan video 'ONEderful Malaysia CNY 2014' di laman sosial Youtube yang menyindir pemimpin negara termasuk isu keselamatan di Sabah, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung, Persatuan Cina Muslim (Macma), Ann Wan Seng berkata, sebagai pemimpin, Teresa seharusnya mempromosikan isu membentuk perpaduan dan kesejahteraan, bukan mewujudkan provokasi melalui kenyataan tidak berasas untuk kepentingan politik.

"Gambaran beliau tentang keadaan negara melalui video itu perlu diperbetulkan kerana ia tidak sedikitpun mencerminkan keadaan sebenar yang pada hakikatnya, negara kita aman damai.

"Disebabkan itu, imej negara sekelip mata telah tercemar ekoran kesilapan fakta yang ditonjolkan dalam video itu. Video itu boleh disaksikan seluruh masyarakat dunia kerana ia ditayangkan secara terbuka di laman Youtube," katanya.

Mengulas isu sama, Presiden, Pertubuhan Hak Belia, Sheen Yee Aun berkata, tindakan Teresa adalah tidak adil kepada masyarakat negara ini khususnya kaum Cina.

"Pendapat saya, Teresa seolah-olah tidak menghormati kaum Cina kerana cuba mewujudkan sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat ketika kaum Cina sedang menyambut Tahun Baharu Cina," katanya.

Tambahnya, jika negara dipimpin oleh pemimpin yang berkepentingan politik seperti Teresa, tidak mustahil negara akan menjadi mundur pada masa akan datang.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kassim seorang idealis - Dr. Mahathir

PUTRAJAYA 16 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, karyawan dan bekas aktivis politik, Kassim Ahmad merupakan seorang idealis dan pemikir yang berusaha mewujudkan masyarakat yang lebih baik.

Menurutnya, walaupun terdapat pihak tertentu termasuk beliau sendiri yang tidak bersetuju dengan sesetengah pandangan Kassim, pemikirannya tetap wajar diteliti.

‘‘Kassim masih memikir masyarakat perlu bertukar dari segi cara hidup dan nilai-nilai hidup supaya menjadi lebih baik. Kita harus teliti sama ada terdapat asas-asas benar dalam pemikirannya," katanya ketika merasmikan Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian anjuran Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam.

Beliau berkata, Kassim selama ini sering dilabelkan sebagai orang yang tidak percaya kepada tuhan, anti-hadis dan bukan Islam sehinggakan pemikirannya kadang-kala diabaikan.

‘‘Betapa pentingnya kita berfikir dan menggunakan akal fikiran serta tidak membenarkan kita dipengaruhi oleh perasaan. Pak Kassim telah menjadi sasaran proses label yang menganggapnya sebagai ateis.

‘‘Namun kita perlu kaji pemikirannya. Kita tidak akan dapat ilmu dengan menolak pemikiran ahli pemikir seperti Pak Kassim," katanya.

Dalam pada itu, tokoh akademik, Dr. Chandra Muzaffar berkata, Pak Kassim merupakan seorang yang berani melawan arus perdana tanpa mengira risiko kepada diri sendiri.
‘‘Pemberontakan Kassim terhadap pemikiran konvensional sebahagian besar umat Islam dalam soal hadis dan hubungannya dengan al-Quran menunjukkan bahawa beliau berani melawan arus perdana," katanya dalam kertas kerja bertajuk Penilaian Terhadap Perjuangan Kassim Ahmad.

Kassim pada 1986 mencetuskan kontroversi apabila menghasilkan buku bertajuk Hadis: Satu Penilaian Semula yang antaranya mencabar penerimaan secara membuta-tuli hadis yang bertentangan dengan nilai dan falsafah al-Quran.

Sementara itu, Chandra berkata, Kassim yang terdedah kepada idea-idea sosialis pada mulanya mempersoalkan ideologi tersebut pada awal 1970-an dan akhirnya kembali kepada jalan lurus Islam.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khairy Puas Hati Persiapan Pemuda Untuk #PRKKajang

KAJANG, 16 Feb (Bernama) -- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan Pemuda UMNO Selangor untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, pada 23 Mac.
"Pemuda UMNO hari ini memilih kawasan Sungai Kantan dalam memulakan program 'walkabout' (tinjauan mesra) dan bertemu penduduk dari 25 buah rumah dan mengumpul segala permasalahan yang diterima untuk tindakan selanjutnya," kata Khairy dalam sidang media selepas melakukan tinjauan mesra itu Ahad.

Hadir sama Anggota DUN Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz.

Pemuda UMNO akan terus mengadakan pelbagai progam turun padang bertemu rakyat dalam misi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK Kajang kelak, katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mac sebagai hari penamaan calon dan 23 Mac sebagai hari pengundian bagi PRK Kajang.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan pada 27 Jan lepas bagi memberi ruang untuk diadakan PRK.

Ditanya mengenai calon BN untuk PRK itu, Khairy berkata beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan mengenainya dan akan menerima sesiapa sahaja calon yang dipilih kelak.

Mengenai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang mengumumkan secara rasmi akan bertanding sebagai calon Bebas hari ini, Khairy berkata ia adalah keputusan Zaid dan tiada kaitan langsung dengan BN.

Khairy berkata Ketua Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya telah gagal menyelesaikan masalah dalaman sehingga perlu diadakan PRK Kajang seterusnya menyusahkan semua orang khususnya pengundi di Kajang.

Sementara itu penduduk Kajang digesa memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) dan MCA untuk berkhidmat kepada mereka dan tidak terus-menerus menjadi bahan permainan pihak pakatan rakyat.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menarik perhatian bahawa masyarakat di kawasan itu dibelenggu pelbagai masalah melibatkan antaranya jalan raya, lesen penjaja dan cukai pintu.

Sehubungan itu, beliau berkata anggota Jawatankuasa Tertinggi MCA dikehendaki datang ke DUN Kajang setiap hari bagi meninjau, memahami dan membantu menyelesaikan isu-isu yang sering dihadapi penduduk, sekali gus mengembalikan keyakinan mereka kepada parti itu.

"PRK Kajang merupakan peluang terbaik buat kami untuk buktikan kepada penduduk yang majoritinya kaum Cina bahawa kami sememangnya berjuang demi kebajikan mereka," katanya.

Ketika melancarkan bilik gerakan induk MCA untuk PRK itu di Taman Berjaya, di Kajang, Liow menegaskan pengundi DUN Kajang perlu memilih wakil rakyat daripada BN bagi membolehkannya menyekat tindakan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang menjejaskan penduduk.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas bagi memberi ruang kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Menurut Liow, Lee pernah berjanji kepada penduduk Kajang untuk tinggal dan berkhidmat kepada penduduk setempat, namun dengan peletakan jawatan itu, beliau bukan sahaja tidak berkhidmat malah "meninggalkan Kajang buat selama-lamanya".

Hadir sama pada msjlis itu Khairy Jamaluddin, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong, Naib-naib Presiden Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie.

--BERNAMA