Tuesday, 22 April 2014

Anwar Tarik Diri Tanding Presiden PKR



PETALING JAYA, 22 April (Bernama) -- Ketua Pembangkang Datuk SeriAnwar Ibrahim sah menarik diri daripada bertanding jawatan presiden PKR pada pemilihan parti itu bermula Jumaat ini.

Keputusan Anwar itu sekali gus menyaksikan isterinya, yang juga penyandang jawatan presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diumum menang tanpa bertanding dan mengekalkan jawatan yang disandang sejak penubuhan PKR pada 1999.

Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR Datuk Johari Abdul, ketika mengumumkan perkara itu, berkata Anwar membuat penarikan diri itu menerusi surat bertarikh 19 April 2014 yang dihantar kepadanya.

"Beliau tidak menyatakan sebab penarikan dirinya dalam surat tersebut dan bagi saya sebagai pengarah pemilihan parti, cukup sekadar diberitahu tentang penarikan diri itu sahaja.

"Tetapi saya difahamkan bahawa pasukan peguam belanya menasihati beliau supaya memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang dihadapinya," kata Johari pada sidang media berhubung isu-isu semasa pemilihan PKR di sini Selasa.

Johari berkata walaupun Anwar telah menarik diri, namun nama dan gambar beliau tetap akan dicetak pada kertas pemilihan dan deposit pencalonannya sebanyak RM9,000 tidak dikembalikan.

Pada proses pencalonan pada 29 Mac lalu, Anwar dan Dr Azizah diumumkan sebagai dua calon yang akan merebut jawatan presiden PKR pada pemilihan PKR yang dijadual bermula Jumaat ini hingga 11 Mei.

Dalam pada itu, Johari berkata pihaknya menerima banyak aduan berhubung kelayakan calon yang bertanding pada pemilihan itu termasuk bagi jawatan peringkat tertinggi parti.

Katanya Jawatankuasa Aduan PKR akan meneliti setiap aduan tersebut berlandaskan peraturan dan perlembagaan parti bagi menentukan sama ada aduan tersebut benar.

Pemilihan PKR itu dijalankan secara berperingkat mengikut negeri bermula Jumaat ini di Lawas, Sarawak, diikuti keesokan harinya di kawasan lain di Sarawak serta Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Seterusnya, ia diadakan di Johor dan Melaka pada 27 April; Kedah, Perlis dan Sabah pada 3 Mei; Pulau Pinang, Perak dan Sabah pada 4 Mei; Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan pada 10 Mei dan Selangor pada 11 Mei.

Sekitar 10,000 calon bertanding pelbagai jawatan sama ada di peringkat cabang dan pusat dengan 496,923 anggota parti itu layak mengundi.

-- BERNAMA

PRK Bukit Gelugor: DAP Pulau Pinang Bermesyuarat Khamis Ini


GEORGE TOWN, 22 April (Bernama) -- Jawatankuasa Kerja Pusat DAP Pulau Pinang akan bermesyuarat Khamis ini untuk membincangkan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh, 74, dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan MPV yang dinaikinya dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak pada 17 April.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mesyuarat itu akan turut membincangkan calon dan strategi pilihan raya kecil berkenaan selain aspek logistik serta statistik.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini yang diadakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo untuk mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang keluar beramai-ramai menghadiri perarakan membawa mayat bapanya untuk disemadikan pada Ahad lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan tentang kekosongan kerusi berkenaan oleh Dewan Rakyat dan SPR akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu.

Chow berkata DAP belum menyenarai pendek calon untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dan enggan mengulas sama ada Ramkarpal Singh Deo, anak lelaki mendiang Karpal Singh, akan mewakili parti dalam pilihan raya kecil itu.

Sebelum ini, Tim Donoghue, penulis biografi Karpal Singh, memberitahu sebuah portal berita bahawa Karpal Singh telah memilih sendiri anak lelakinya, Ramkarpal, untuk bertanding jika beliau terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen itu berikutan sabitan ke atasnya dalam kes hasutan.

-- BERNAMA

JPNIN Cadang Anjur Dialog Perpaduan Nasional Antara Parti Politik Tahun Ini


KUANTAN, 20 April (Bernama) -- Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional(JPNIN) berhasrat mengadakan satu dialog tertutup antara pemimpin politik di negara ini dalam usaha mempertingkat agenda perpaduan nasional.

Ketua Pengarah JPNIN Datuk Azman Hassan berkata cadangan itu yang sudah mendapat kelulusan kabinat akan dilaksana tahun ini dengan disertai semua pemimpin politik sama ada dari parti kerajaan atau pembangkang.

"Tiada parti politik yang dipinggirkan dalam dialog itu, termasuk pembangkang, yang turut menjadi sebahagian wacana berkenaan kerana usul mereka juga akan diguna pakai dalam menyelesaikan isu perpaduan," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Rukun Tetangga peringkat negeri hari ini.

Beliau berkata menerusi dialog itu, yang turut mendapat kerjasama Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional, sesi perbincangan dan pembentangan cadangan yang difikir boleh mempertingkat penyatuan di peringkat nasional akan diadakan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Azman berkata isu dan cabaran perpaduan paling utama ketika ini adalah membabitkan agama, termasuk penggunaan kalimah Allah dan perkauman yang pernah dibangkit pembangkang.

Justeru, katanya, kerajaan berusaha melaksana pelbagai langkah termasuk mengadakan dialog dengan kumpulan dan badan bukan kerajaan (NGO) agama di negara ini, selain terus membantu mempertingkat perpaduan melalui pengukuhan kawasan rukun tetangga (KRT) dan skim rondaan sukarela (SRS).

"Sehingga kini, sebanyak 400 KRT dan 500 SRS diwujudkan dengan jumlah anggotanya masing-masing 6,597 dan 4,136 orang dengan penambahan 32 pegawai perpaduan untuk memantau aktiviti yang dilaksanakan," katanya.

- BERNAMA

Enggan sokong hudud, Pengerusi DHPP diselar

Kota Bharu, 22 April - Dewan Pemuda Pas Kawasan Kota Bharu (DPPKKB) menyelar tindakan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Kelantan, Hu Pang Chaw yang menentang secara terbuka cadangan pelaksanaan hudud di negeri ini.

Ketua DPPKKB, Dr. Rosli Alani Abdul Kadir berkata, status DHPP sebagai sebuah dewan yang sah di dalam parti menjadikan ahli-ahlinya terikat dengan Perlembagaan Pas.

Oleh sebab itu kata beliau, DHPP sepatutnya perlu berfungsi mengikut tujuan asal penubuhan iaitu sebagai sebuah badan yang akan menyokong segala dasar yang ditetapkan Pas.

"DPPKKB mendesak Pas Pusat supaya mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya terhadap Pang Chaw, termasuk melucutkan beliau dari jawatan Pengerusi DHPP.

"Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan martabat Pas sebagai sebuah parti politik Islam terpelihara manakala martabat pemimpin Pas pula tidak diperlekeh di mata umum," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Timbalan Menteri Besar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah baru-baru ini meminta DHPP memainkan peranan membantu parti itu memberi penjelasan berkaitan hukum hudud kepada orang bukan Islam.

Bagaimanapun, Pang Chaw dilaporkan memberi reaksi negatif apabila berkata, DHPP bukan pihak yang relevan memainkan peranan itu selain mendakwa cadangan pelaksanaan hudud diputuskan oleh Pas tanpa mengambil kira pandangan rakyat.

Mengulas lanjut, Rosli Alani berkata, Pang Chaw sebelum ini juga pernah beberapa kali membuat kenyataan yang bercanggah dengan dasar dan Perlembagaan parti apabila menentang secara terbuka pelaksanaan hudud dalam sebuah akhbar.

"Beliau pernah dilaporkan berkata di dalam berita muka depan akhbar tersebut pada 10 Oktober 2011 kononnya 20,000 ahli DHPP akan keluar meninggalkan Pas jika hudud dilaksanakan.

"Walaupun telah dipanggil memberi penjelasan oleh Pas Pusat, pada 15 November 2013, beliau sekali lagi dilaporkan berkata tidak dapat melihat sebarang kebaikan yang boleh dibawa oleh hudud," katanya.

Rosli Alani dalam pada itu turut menegaskan, gesaan pihaknya supaya Pas memecat Pang Chaw bukan bermaksud parti itu menolak pandangan orang bukan Islam, "Tindakan ini sebaliknya merupakan penolakan Pas kepada individu yang mahu menjadikan kedudukannya di dalam Pas sebagai peluang untuk mendapatkan sesuatu," katanya.

Daim sifatkan Anwar 'kaki goreng'

Daim Zainuddin (kiri), bercakap pada program Bicara Petang yang bertemakan Ekonomi Bandar Malaysia. Adakah Bandar Melayu?. Turut kelihatan Moehamad Izat Emir di MIDA, Plaza Sentral, Kuala Lumpur, semalam. 
KUALA LUMPUR 22 April - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘kaki goreng’ kerana mendakwa mempunyai bukti kukuh tentang penyelewengan yang beliau lakukan di luar negara.

Katanya, jika Ketua Pembangkang itu mempunyai bukti berhubung perkara itu, Anwar sepatutnya membuat laporan terperinci kepada pihak berkuasa dan bukannya memperbesar-besarkan isu yang tidak sahih.

"Dia (Anwar) ketika itu berjumpa dengan Presiden Tanzania dalam sesi pelaburan dan bertanya tentang aset saya. Presiden itu berkata, memang saya ada bank di Tanzania, jadi apa masalahnya?

"Anwar lepas dibuang daripada parti, semua dia kata tak betul, jadi apa yang dibuat masa dalam parti? Anwar ini ‘kaki goreng’," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Bicara Petang yang dianjurkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir dan Pengerusi Biro SME Perdasama, Datuk Norizan Bakar.
Daim diminta mengulas dakwaan Anwar bahawa beliau mempunyai akaun di luar negara hasil penyelewengan semasa beliau dalam Kabinet.

Daim menjelaskan, pada tahun 1999 ketika Anwar dalam Kabinet, Ketua Pembangkang itu pernah membuat laporan dan melakukan siasatan ke atasnya.

"Siasatan berdasarkan salinan surat-surat yang saya serahkan padanya. Tetapi, dia potong nama saya, dan dia kata memperoleh surat itu sendiri. Saya telah dua kali disiasat tentang pemilikan aset.

"Masa tu dia (Anwar) Menteri Kewangan dan juga pengerusi tentang rasuah. Kenapa tak ambil tindakan? Lepas kena buang daripada parti UMNO, semua dia kata tak betul," jelas beliau.

Beliau juga mempersoalkan dakwaan Anwar yang menyatakan mempunyai beberapa kotak mengandungi dokumen penyelewengan oleh tokoh-tokoh politik.

"Tetapi sehingga kini tidak ada apa yang didedahkan oleh ketua pembangkang itu," katanya.